Saturday, March 3, 2012

Tanggungjawab Part 2

Isteri juga mempunyai peranan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebagai seorang isteri. Antaranya ialah:

1. Mentaati dan menjaga maruah suami
2. Memenuhi kehendak suami pada bila-bila masa jika ingin menyetubuhinya selagi dibenarkan oleh syara'.
3. Menjaga maruah diri sewaktu di hadapan suami ataupun semasa ketiadaan suami
4. Membelanjakan harta suami dengan jalan yang baik
5. Tidak keluar rumah tanpa keizinan suami
6. Tidak menceritakan kelemahan suami kepada umum
7. Menghormati dan memberi taat setia kepada suami sebagai ketua keluarga.

Tanggungjawab Part 1

Tanggungjawab suami terhadap isteri

Suami merupakan ketua yang memimpin dan mencorakkan sesebuah rumahtangga. Sikap suami mempunyai pengaruh yang amat besar terhadap suasana yang mesra, aman dan damai atau sebaliknya. Oleh itu, suami mestilah menjadi seorang yang benar-benar matang fikirannya, tahu tugas dan tanggungjawabnya, serta bersifat jujur dalam memimpin dan mengetahui rumahtangga yang baru dibina itu. Untuk melahirkan sebuah perkongsian hidup yang benar-benar bahagia maka Allah S.w.t sendiri menggariskan beberapa kewajipan yang mesti dilaksanakan oleh suami terhadap isteri, antaranya ialah :

i. Wajib atas suami memberi mas kahwin kepada bakal isterinya. Firman Allah SWT maksudnya : “Berikanlah mas kahwin kepada wanita (yang kamu nikah) sebagai pemberian yang wajib”.

ii. Memberi nafkah zahir dan batin, nafkah zahir termasuklah :

a. Tempat tinggal / tempat kediaman bersama (suami dan isteri) iaitu rumah yang selayaknya yang memberi keselesaan dan keamanan.

b. Keperluan hidup iaitu makanan, pakaian dan peralatan yang munasabah dan selayaknya menurut kemampuan suami, sabda Rasulullah SAW maksudnya :

“Dan wajib ke atas kamu memberikan mereka (isteri-isteri) rezeki mereka dan pakaian mereka dengan baik. Tempatlah mereka di mana kamu bertempat tinggal mengikut kemampuanmu.”

iii. Bergaul dengan isteri dengan cara yang baik, mesra dan kasih sayang. Firman Allah SWT, maksudnya:  “Bergaullah dengan mereka dengan cara yang baik.”

iv. Hendaklah berlaku adil sekiranya suami itu mempunyai isteri lebih dari satu.

v. Suami wajib menahan diri dari menyakiti, berlaku kasar dan sebarang perbuatan yang memudharatkan isteri tanpa sebarang sebab.

vi. Menjadi kewajipan suami untuk memberi keizinan kepada isterinya untuk menziarahi keluarganya (ibu bapa dan kaum keluarganya).

Demikianlah di antara kewajipan suami terhadap isteri, di samping itu sebagai yang kita maklum bahawa Allah menjadikan perempuan itu sebagai teman hidup yang paling rapat, hendaklah diberi layanan-layanan yang istimewa seperti berikut :

1. Suami hendaklah sentiasa bertimbang rasa, menunjukkan kasih-sayang terhadap isteri, bercakap dengan lemah lembut dan mesra, selalu bermuka manis dan janganlah bermuka masam atau sebagai singa yang garang terhadap mangsanya. Adalah menyedihkan setengah orang-orang jahil menyangka bahawa bersifat garang dan keras terhadap isteri itu adalah menunjukkan kelakiannya, dan dia menyangka berlemah-lembut terhadap isterinya adalah satu sifat yang hina dan memalukan, tetapi sebenarnya bersifat kasar adalah membawa isteri menjadi durhaka, sebaliknya bersifat lemah-lembut menyebabkan isteri kasih dan menghormatinya. Sabda Rasulullah S.a.w yang bermaksud :

“Orang yang paling baik antara kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya, dan aku ialah orang yang sangat berlaku baik terhadap isteriku.”

2. Hendaklah suami memberi kelapangan perbelanjaan rumahtangga keperluan hidup yang selayaknya mengikut kemampuan yang sewajarnya. Jika suami terlalu bakhil terhadap rumahtangga maka diharuskan isteri mengambil sekadar yang diperlukan dari harta suaminya walaupun tanpa izinnya, sebagaimana Rasulullah sendiri memberi kebenaran tersebut kepada isteri Abu Sufian apabila dia mengadu kepada Rasulullah tentang kebakhilan Abu Sufian.

3. Hendaklah suami menguruskan segala urusan dengan sebaik-baiknya dan menggembirakan seperti apabila dia sakit, diberi rawatan perubatan yang secukupnya.

4. Pandu dan bimbinglah isteri dengan nasihat yang baik dan berilah contoh akhlak yang terpuji dan ajaran yang lemah lembut, Rasulullah sendiri menghuraikan hakikat ini dengan sabdanya yang bermaksud:

“Sesungguhnya wanita itu adalah tulang rusuk (bengkok), sekiranya engkau mahu membetulkannya dia akan patah dan jika engkau membiarkannya, engkau akan menikmatinya dalam keadaan bengkok.”

5. Berilah isteri haknya sebagai isteri bukan sebagai orang suruhan (hamba) atau sebagai babu, dan bukan sebagai boneka yang semata-mata untuk memenuhi nafsu kaum lelaki sahaja.

6. Hendaklah bersikap terus terang dengan isteri dan jangan sekali-kali mendustainya, kerana jika isteri didustai dia akan mendustai suaminya pula.

7. Sebagai suami (ketua keluarga) jangan memperturutkan sahaja apa kehendak isteri sehingga sampai merendahkan harga diri (mengikut di bawah telunjuknya sahaja, istilah sekarang 'queen control').

8. Dibolehkan suami memukul isteri untuk mendidik bukan untuk balas dendam. Dalam hal ini tidak memaki hamunnya apabila hendak memberi pengajaran kepada isteri dalam bentuk yang sopan atau pulaukannya (tinggalkan tempat tidur dan tidak tidur bersama-samanya).

Seandainya dapat dilaksanakan tanggungjawab yang sedemikian tentu Insya Allah suami dapat membawa rumahtangga ke arah kehormanian dan kebahagiaan.